Aku Teman Setia pada Masa Dukamu, Apakah Mungkin Aku juga Masih Merupakan Seorang Teman Di Masa Bahagiamu?
Aku Teman Setia pada Masa Dukamu, Apakah Mungkin Aku juga Masih Merupakan Seorang Teman Di Masa Bahagiamu?
Kadangkala hati ini sering bertanya apakah formula terbaik untuk mengecapi kebahagiaan hidup bersama orang yang disayangi di dunia ini?. Bukan diri ini tidak pernah berusaha untuk menjadi yang terbaik untuk dirinya tatkala kami berdua sama-sama mengharungi alam persahabatan dan percintaan, tapi langkah ku seakan terhenti di alam percintaan dan tidak pernah berjaya meneruskan hubungan yang kami jalin bersama ke arah seterusnya 'perkahwinan' yang menjadi impian setiap orang daripada kita.
Tatkala diri hanya mampu memerhatikan orang yang pernah dicintai dengan sepenuh hati duduk bersanding di atas pelaminan bersama orang baru yang dikenali setelah diri ini tiada lagi manfaat yang boleh didapati. Ibarat hampas kelapa yang dibuang setelah habis santannya kau perah. Bertapa hinanya diri ini kurasakan setelah kasih sayang yang aku berikan kepada dirimu satu tika dulu tidak setakat kau campakkan ke dalam 'tong sampah' malah hatiku ini juga turut dikau remuk kan sehingga tidak mungkin lagi dirawat.
Sayang... Mengapa buat diriku begini???
Sungguhpun jika seluruh rasa sayang itu telah mulai menghilang tidakkah terdetik rasa barang sebesar zarah pun, untuk kamu mengkhabarkan berita itu terhadap diriku ini?? Tidak layakkah diriku ini untuk 'diberitahu' dengan cara yang lebih terhormat? Bukan terus dibuang daripada jejak hidupmu..
Aku pastinya akan cuba memahami situasi kamu disaat itu. Tahukah dikau mengapa aku berani membuat kenyataan yang begitu berani dan begitu yakin aku akan pasti memahami keputusan dirimu disaat itu? Walaupun keputusan dirimu itu masih membekas sehingga ke detik ini. Ini kerana aku masih merupakan seorang teman yang setia terhadap dirimu sehingga ke hari ini, walaupun pergimu tanpa sepatah kata.
Tindakan yang kamu ambil untuk meninggalkan diri ini tanpa pesan dan salam telah membuatkan persoalan tentang 'Adakah aku masih merupakan seorang teman di masa-masa bahagiamu' kedengaran seperti sebuah bahan jenaka kejam yang terpaksa aku telan dan samarkan dengan senyuman dan gelak ketawa palsu. Apakah yang lebih kejam daripada itu sekiranya senyuman dan ketawa palsu untuk melindungi rahsia hatiku itu terpaksa pula aku pamerkan mungkin selama hayat ini masih dikandung badan.
Tidakkah terdetik dihatimu barang seketika bahawa aku sebenarnya sedang terluka disebabkan oleh tutur kata dan tingkah lakumu? Kerana aku tahu bahawa dikau memahami apa yang aku rasakan. Tapi mengapakah semua itu harus kita sembunyikan disebalik sebuah topeng persahabatan palsu?
Tidakkah dihatimu menyedari bertapa hatiku ini sangat tersakiti?
Sungguhpun demikian,
Ketahuilah olehmu bahawa aku tidak pernah meletakkan semua kesalahan di bahumu kerana diri ini menyedari sesuatu hal yang berlaku itu selain sudah ditakdirkan untuk berlaku, ianya juga menjadi bahan bukti yang nyata aku juga merupakan salah satu pihak yang menjadi penyumbang terbesar yang membuatkan situasi di antara kita berdua menjadi semakin rumit.
Maafkan lah diriku ini kerana sebenarnya hatiku ini tidaklah segagah manapun seperti yang aku zahirkan terhadapmu. Tetapi, itu bukanlah bermakna aku tidak telus dalam menjalin hubungan persahabatan bersama dirimu selama ini.
Maafkan lah diri ini kerana walaupun hati, minda dan jiwa ini memahami bahawa tidak mungkin dirimu masih mengingati diri ini yang sudah tentu bukan siapa-siapanya terhadap dirimu; terlebih lagi pada saat ini aku yakin kamu sangat bahagia bersama dirinya yang kau cintai.. tidak salah rasanya jika aku sebagai manusia biasa tertanya-tanya dan menanam impian. Impian dan angan-angan bahawa dirimu juga seperti dirimu tetap mengingati diriku ini sebagai teman setia yang pernah mewarnai kesuraman warna perjalanan hidupmu satu masa lalu.
Sungguhpun cuma secalit warna, sudah memadai bagi diri ini untuk dijadikan sebagai asas kepada lekukkan dibibir ini untuk terus mengukirkan senyuman kerana sehingga ke saat ini tidak pernah sesaat pun hidupku ini yang berlalu tanpa aku tidak mengingati dirimu.
Walaupun kadangkala diri ini terasa sangat terhina kerana disingkirkan terlalu awal dari kisah hidupmu, aku tidak pernah sesekali menyalahkan dirimu malah aku sentiasa mendoakan agar dirimu akan berjaya menemui kebahagiaan yang dikau cari-cari selama ini.
Walaupun kebahagian yang dikau bina itu di atas titis airmata aku ini, sungguh aku pasrah. Kerana aku masih merupakan seorang teman yang setia terhadap dirimu tanpa mengira sama ada sewaktu engkau berduka mahupun bahagia.
Ulasan
Catat Ulasan