Langkau ke kandungan utama

Aku Doakan Semoga Segala Yang Terbaik Di Dunia Ini Akan Menjadi Milik Dirimu

 Semoga segala perkara yang terbaik yang mampu dihasilkan di dunia ini akan menjadi milik dirimu mulai daripada hari ini.. itulah doa tulus dan harapan hati aku disaat penulisan ini ditulis. Pada hari ini lebih daripada tiga dekad yang lalu, dirimu telah dilahirkan. Tahukah dikau bahawa selain daripada ahli keluarga mu, rakan-rakan dan mungkin juga dirimu sendiri, aku adalah salah seorang di antara manusia yang paling bahagia pada hari ini. Di hari yang penuh berbahagia ini, hanya satu pinta aku terhadap dirimu. Izinkan lah diriku ini untuk terus menjadi orang yang kedua selepas ibu dan ayah mu yang sentiasa mengucapkan syukur kepada Allah di atas kelahiran dirimu di muka bumi ini. Tanpa rahmat daripada-Nya mana mungkin aku akan dapat berkenalan dengan dirimu enam belas tahun yang lalu. Alhamdullilah!








 NIZ,

 Diriku ini ingin sekali dikau mengetahui bertapa berharganya kehadiran dirimu ke dalam hidupku pada satu ketika dahulu. Sewaktu itu kita berdua masih hijau daun dan malar segar lagi wujudnya. Tiada langsung masalah kehidupan yang perlu difikirkan dengan serius. Hanya gelak tawa sahaja yang kedengaran di segenap penjuru padang persahabatan kita yang telah menjadi sebuah tempat yang dijamin selamat untuk kita berdua bebas berlari. Diriku ini amat mempercayai sekuat mana pun diri seseorang manusia itu pastinya mendambakan kehadiran seseorang dalam kehidupan mereka untuk sama-sama bernaung di bawah sebuah payung persahabatan. Tiada seorang pun yang dapat terkecuali termasuklah diriku dan dirimu.




 Oleh itu bersempena hari ulang tahun dirimu yang ke 37 tahun ini aku ingin sekali mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat hari lahir, selamat panjang umur, selamat murah rezeki dan semoga apa sahaja yang dikau rencanakan akan bakal terlaksana dengan baik mengikut segala perancangan yang telah dilakukan. Semoga apa sahaja yang menjadi impian dan permintaan hatimu, sama ada yang terungkap mahupun tidak bakal dikabulkan Allah pada tahun ini.



 Masih lagi aku teringatkan kenangan kita berdua tatkala kita masih bersama dahulu.. kita berdua pastinya akan cuba sedaya upaya untuk meluangkan masa bersama disebalik waktu terluang yang dapat dicuri di celah-celah sempitnya ruang waktu yang kita miliki demi mengejar cita-cita peribadi, untuk meraikannya. Walaupun tidak semewah mana, terkadang kala cukup hanya sekadar diiringi sepotong doa, sepotong kek dan sepatah ucapan yang ikhlas lahir daripada hati masing-masing sudah terasa sangat bermakna daripada segunung intan yang mampu dibeli dengan kekayaan dunia. Kita berdua merasakan kita telah berusaha yang terbaik demi menjaga hubungan yang tercipta dan kita merasakan bahawa usaha itu sudah memadai untuk melindungi ikatan persahabatan yang terjalin. Ternyata kita berdua silap membuat percaturan, kita lupa pada Dia yang maha berkuasa dalam menentukan segala-galanya dan kita berdua telah terpisah jauh di antara satu sama yang lain.


 Walaupun kisah kita berdua tidak berakhir dengan kesudahan yang baik, aku tetap ingin menyatakan kepada dirimu bahawa aku sangat gembira dapat mengenali dirimu suatu masa lalu. Aku juga ingin dikau menegetahui bahawa diri ini tidak pernah menyalahkan dirimu atas apa yang telah terjadi di antara kita berdua. Dirimu itu telah lama aku maafkan, cuma aku berasa sedikit kesal kerana tidak dapat berbicara secara langsung dengan dirimu untuk menghilangkan rasa kerinduan dihati ini yang menggunung terhadap dirimu. Adakah dikau juga merasakan apa yang kurasakan?


 Mereka kata masa boleh merawat segala-galanya.. tetapi mengapakah dirimu berterusan bertindak melarikan diri dan bersembunyi daripada diriku ini? Tahukah dirimu tindakanmu itu membuatkan aku pula yang rasa bersalah dan semua kesalahan itu seakan-akan berpunca daripada diriku ini, sedangkan hakikatnya tidak begitu?!


 Di hari yang penuh dengan kegembiraan ini, moleklah rasanya jika diriku ini menjelaskan sesuatu hal yang seharusnya dikau fahami. Dikau boleh melarikan diri sejauh manapun yang dikau mampu dan mahu pergi, tetapi ingatlah selalu bahawa untuk melarikan diri daripada kenyataan adalah sesuatu perkara yang tidak mungkin dan mustahil untuk dilakukan. Untuk seketika mungkin boleh tetapi untuk jangka masa panjang semua kenyataan itu akan bakal terungkap satu persatu.


 Aku amat memahami dirimu yang sentiasa mendahulukan orang lain terlebih dahulu dalam semua aspek tetapi penting untuk dirimu mengetahui: "Kadangkala kita perlu memikirkan dan mengutamakan perasaan diri sendiri terlebih dahulu barulah orang lain". Oleh itu beranikan lah dirimu itu wahai sahabat untuk menghadapi kenyataan hidup ini. Jika semuanya terungkap dan dirimu mendapati tidak ada seorang pun yang menyokong tindakan mu, yakinlah bahawa tuhan sentiasa ada dan diriku ini turut ada menyokong segala usaha mu itu selama hayat masih dikandung badan.


 Maafkan diriku ini andai kata bicara ku ini mengguriskan hatimu itu. Itu tidak seharusnya berlaku kerana dihari ini seharusnya dirimu sentiasa bergembira. Come on! Don't cry... Aku mungkin tidak dapat membaca isi hatimu tetapi aku memahami apabila seseorang berpura-pura gembira untuk menutup rasa hati yang sebenar. Aku tahu apa yang kau inginkan disaat ini hanyalah untuk semua kesedihan itu berlalu pergi...


 Untuk semua itu berlalu pergi, tolong hentikan semua 'pembohongan' ini. Tolong hentikan semua perkara yang akan terus menyakitkan hati dan perasaan ini. Jika dirimu terus membiarkan semua 'pembohongan' ini untuk menjadi satu kenyataan bukan hanya dirimu yang tersakiti, kita berdua akan tersakiti dan tidakkah dirimu terfikir si dia yang baru kau taburkan janji itu juga akan turut sama terluka setelah dirinya juga mengetahui apa sebenarnya yang terjadi? Berapa banyakkah lagi hati yang ingin dikau patahkan di sebalik alasan nipis 'tidak mahu menyakiti' ?


 Semoga perkara terbaik di dunia ini akan menjadi milikmu pada hari ini, dan diriku ini juga sangat berharap salah satu perkara yang terbaik itu adalah keupayaan dirimu untuk berkata 'tidak' kepada perkara yang tidak dikau sukai. Supaya dirimu akan berhenti daripada kebiasaan untuk terus menjadi "people's pleaser".. berhenti lah sekarang bila mana ianya masih belum terlalu terlambat untuk berbuat demikian. Bukanlah niat dihatiku ini untuk mengarahkan dirimu untuk melakukan sesuatu, tetapi demi tuhan lakukan lah perkara yang ingin kau lakukan pada hari ini. Dan perkara itu haruslah sesuatu yang benar-benar dirimu mahu lakukan. Bukan kerana dikau merasakan perkara itu akan membuatkan orang lain gembira. For once please think about yourself too.. kerana dirimu begitu berharga.


 Dari kejauhan aku mendoakan semoga segala yang terbaik di dunia ini akan menjadi milik dirimu pada hari ini.

 Happy birthday, Sweetheart..


 Tidak mengira di mana pun dikau berada pada hari ini.. semoga kita akan diberikan kesempatan oleh Allah untuk bertemu sekali lagi. Walaupun cuma untuk sesaat sudah cukup memadai. Sementara menunggu detik itu tiba... take care!


 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Di keheningan Pagi Di Kala Ku Bersendirian Ku Terkenangkan Dirimu

  Anehnya perasaan yang aku rasakan di keheningan pagi ini, dikala ku bersendirian tiba-tiba aku terkenangkan dirimu. Di manakah dikau berada di ketika ini? Kerana 'semalam' perkara terakhir yang diriku ketahui, dirimu dan juga diriku merupakan sahabat sejati yang tak mungkin dipisahkan lagi. Tidak mengira walau apa pun badai yang datang melanda kapal persahabatan yang kita kemudi kan bersama ini, tidak mungkin akan berjaya menenggelamkannya ke dasar lautan.   Mereka kata sebuah kapal tidak mungkin dapat memiliki dua nakhoda. Pasti akan menimbulkan banyak masalah di kemudian hari. Akan tetapi pada ketika itu Kau dan aku kita berdua langsung tidak mempercayai kata-kata tersebut dan telah kita berdua cuba membuktikan kepada mereka bahawa berdua itu sememangnya lebih baik.  Ketika luasnya samudera ini kita redah bersama dengan penuh rasa sabar sambil membawa dan mengibarkan misi pencarian yang sama, agar kita berdua mencapai kebahagian di akhirat dan dunia yang fana ini...

Mungkinkah Masa Mampu Merubah Segalanya?

 Mereka kata masa boleh merubah segalanya.. perasaan benci boleh kembali menjadi sayang, marah kembali cool, sedih menjadi kembali ceria, rindu boleh kembali reda. Malah ada juga yang mengatakan hati yang membeku seperti ais di kutub juga boleh kembali hangat dan mencair. Benarkah apa yang mereka semua katakan itu? Ataupun itu merupakan sekadar kata-kata yang tercipta hanya bertujuan untuk menyedapkan perasaan mahupun untuk menutup semua rasa kecewa dihati..   Andai benar apakah buktinya?   Demi Allah, aku akui pernah pada satu ketika dahulu aku mempercayai kata-kata itu dengan sepenuhnya... Seratus peratus aku meyakini bahawa seiring dengan peredaran masa, semuanya akan pulih seperti sediakala. Kerana itu, aku cuba menjalani hidup ini seperti peristiwa itu tidak pernah berlaku kepada diriku ini.   Perasaan sedih itu aku selindung kan dengan senyuman yang semanis madu. Aku pastikan segala apa pun yang aku rasakan terkunci rapi di dalam hati sehingga jauh ke...

Mengubati Hatiku Yang Patah Ditumpaskan Cinta

  Seringkali sahaja aku mendapati diriku ini bertanyakan kepada diri sendiri, mengapakah sekeping hati milik diri ini terlalu rapuh dan mudah sahaja patah serta cedera ditumpaskan cinta? Dan perkara paling penting sekali yang diri aku ini ingin ketahui, sudah wujudkah cara efektif untuk diguna pakai merawati hati yang telah cedera parah dek kerana perasaan yang bernama 'Cinta'???  Perasaan cinta yang seharusnya menjadi sebuah medium untuk kita semua sekelian makhluk merasakan bertapa bahagianya hidup di atas muka bumi Allah ini, rupa-rupanya tersembunyi sebilah pedang yang bermata dua. Ini kerana di sebalik perasaan indah yang dirasakan tatkala diri diselimuti dengan selimut baldu cinta yang begitu lembut dan mendamaikan ini, ianya juga boleh bertukar menjadi sebuah penjara dunia jika diri mula dibutakan dengan keindahan pelangi yang sementara.  Oleh itu berhati-hatilah selalu di saat diri sedang dibuai oleh bayu cinta. Janganlah terlalu terbuai dengan perasaa...