Terdetik rasa janggal dihati ini, apabila melihatkan bertapa ironinya kisah percintaan orang zaman sekarang, seseorang yang begitu takut dirinya akan ditinggalkan pergi oleh orang yang dia sayang, malah dia pula yang mengambil jalan mudah untuk meninggalkan orang tersebut. Mengapakah perkara yang sebegini boleh berlaku? Jika difikirkan melalui logiknya akal manusia kurniaan tuhan kepada kita semua ini, perkara itu tidak akan pernah berlaku. Ini kerana jika kita tidak mahu orang lain melakukan sesuatu perkara itu kepada diri kita, seharusnya kita juga tidak boleh melakukan perkara tersebut kepada orang lain.
Tidakkah mereka yang suka melakukan perbuatan yang sebegini memikirkan terlebih dahulu secara matang sebelum membuat keputusan yang sedemikian? Tidak pernah kah mereka terfikir bahawa perkara yang sama juga boleh berlaku terhadap diri mereka?
Adakah mereka begitu naif dan berfikir bahawa mereka akan sentiasa berada di atas? Lupakah mereka kepada roda kehidupan yang sentiasa berputar? Kadangkala kita berada di atas dan kadangkala kita juga boleh berada di bawah.
Baca Juga
Sesekali Apabila Angin Membelai Lembut Wajahku
Benar... Sudah pasti akan terbitnya perasaan sakit dihati apabila kita terkenangkan kembali tingkah laku yang sebegini bila diri ditinggalkan pergi oleh orang yang tersayang tanpa sepatah kata ucapan maaf.
Bertambah sedih dan pedih lagi apabila perkara itu terjadi tanpa kita mengetahui apakah salah dan silap yang telah kita lakukan sehingga menyebabkan ianya berlaku. Setelah diri kita berkorban memberikan segala-galanya demi melihat kejayaan mereka tanpa mengharapkan sebarang pengiktirafan. Cukup sekadar mereka tahu menghargai segala pengorbanan yang telah diberikan. Tapi, jika perkara seperti ini masih berterusan berlaku, mungkinkah nilai kejujuran dan keikhlasan semakin pupus di dalam hati umat masa kini?
Meskipun begitu haruskah diri terus meratap dan menangis atas segala sesuatu yang telah ditakdirkan berakhir? Adakah ini pengakhiran kepada jalan kehidupan dirimu itu? Sudah tentunya tidak!
Ini kerana jalan kehidupan yang perlu kita lalui ini terlalu panjang untuk kita jelajahi. Terlalu banyak perkara yang belum kita semua temui jawapannya. Masih terlalu banyak benda yang belum pernah lagi kita sentuh, rasakan dan lihat. Lalu mengapa pula harus kita sia-siakan kesempatan sementara yang dikurniakan Allah dengan sesuatu perkara yang bakal merugikan diri sendiri?
Ditinggalkan pergi bukanlah pengakhiran kepada segala-galanya! Itulah jalan permulaan yang diri kita ini semua perlukan untuk membukakan pintu menuju ke arah jalan kehidupan kita yang seterusnya. Perjalanan hidup ini tidak akan terhenti hanya kerana si dia yang pergi meninggalkan kita. Siapakah dirinya itu yang kita biarkan untuk mengawal kehidupan milik kita ini?
Sedangkan kita tahu bahawa seluruh kehidupan ini hanyalah milik Allah yang esa. Dibuktikan dalam ikrar yang sentiasa kita lafazkan sewaktu diri tunduk kepada-Nya lima kali sehari semalam. Segala jiwa dan raga ini telah kita persembahkan dalam lafaz qudus,
"Qul Inna solati wa nusuki, wa mahyaya wa mamati lillahi rabbi alamin"
Katakanlah," sesungguhnya solat aku, hidup aku dan mati aku ini hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam "
Justeru itu sayangi dan cintailah seseorang disebabkan agamanya terlebih dahulu barulah diikuti oleh sebab-sebab yang lain. Ini kerana dua orang yang bertemu dan berpisah kerana tuhan adalah mereka yang benar-benar kuat jiwa dan raganya. Mereka ini benar-benar meyakini bahawa sehebat mana pun perancangan yang telah dibuat oleh seorang manusia biasa tidak akan mampu menandingi kehebatan perancangan yang telah diatur oleh pemilik segala perancangan ; Tuhan semesta alam.
Mereka orang-orang yang memilih untuk mencintai tuhannya dahulu adalah individu yang sememangnya memahami hanya kepada sang penciptanya dirinya akan dikembalikan semula apabila sampai masanya kelak. Oleh itu untuk apa kita terus meratapi pemergian 'mereka' yang tidak pernah sudi meluangkan sedikit masa dan perhatian ke arah dirimu itu?
Berbaloikah setiap titik air mata untuk dititiskan kepada mereka yang tidak akan pernah menghargai sebesar apa pun pengorbanan yang pernah kita lakukan kepada mereka? Bukan hanya mereka tidak tahu menghargai malah 'mereka' juga tidak pernah merasakan sedikit pun perasaan malu apabila bertindak sesuka hati, membina kebahagiaan diri mereka sendiri di atas penderitaan orang lain.
Tepuk lah dada dan tanyalah pada hati, murah sangatkah harga diri kita ini untuk kita cagarkan apabila kebahagiaan diri sendiri kita biarkan orang lain yang menguasai?
Dari itu mulalah belajar untuk menghargai dirimu sendiri. Tanamkan lah di dalam hati sesungguhnya dirimu itu amat berharga kepada mereka yang yang benar-benar menyayangimu. Andainya mereka memang benar-benar sayang sudah pastinya segala kelebihan dan kekurangan diri milik diri kamu itu akan mereka hayati. Kerana tiada apa-apa pun yang sempurna di dalam dunia ini melainkan Allah S.W.T.
Mungkin dirimu ditinggalkan pergi di saat ini kerana ada sesuatu yang lebih baik yang bakal menunggu mu di hadapan jalan hidup mu kelak. Oleh itu jangan sesekali pernah kamu sesali apa yang terjadi yang telah tertulis dalam jalan cerita hidupmu. Bermuhasah dirilah dan cuba renung dan fikirkan kembali apakah kesalahan itu berada di pihak dirimu atau pun sebaliknya.
Jika benar kerana kekhilafan diri sendiri, hendaklah segera diperbaiki. Jika kesalahan sememangnya bukan daripada pihak mu, ikhlaskan lah hati atas apa yang telah terjadi. Berdoalah banyak-banyak kepada Allah semoga diampunkan segala dosa dan diberikan kekuatan kerana berdoa itu senjata ampuh milik orang islam sejati. Oleh itu jangan malu dan segan untuk menggunakannya.
Janganlah kejadian ditinggalkan pergi oleh orang yang tersayang dijadikan sebagai alasan mudah untuk diri berputus asa. Ada pihak 'ketiga' yang bakal ketawa dan bersorak girang jika perkara itulah yang kita biarkan terjadi, kerana seorang lagi anak Adam telah berjaya 'mereka' lemahkan imannya. Oleh itu sebagai salah seorang daripada anak cucu Adam dan Hawa, kita tidak seharusnya menjadi salah satu sebab untuk membiarkan 'pihak ketiga' ini berjaya menipu kita setelah mereka berjaya menipu nenek moyang kita satu ketika dahulu. Diri ini percaya bahawa setiap seorang daripada kita ini boleh melakukan perkara yang lebih baik lagi.
Ditinggalkan pergi bukanlah juga bermaksud kita harus meletakkan titik noktah di dalam jurnal kehidupan kita. Mungkin inilah masa terbaik yang dikurniakan kepada kita, untuk kita berundur setapak ke belakang dan cuba merenungkan sejenak apakah jenis 'hiasan' yang baharu yang boleh digunakan untuk menghiasi kembali jurnal kehidupan kita ini supaya menjadi lebih menarik dan bermakna. Siapa tahu dengan berbuat demikian akan melahirkan aura positif yang mampu memimpin diri kita semua melangkah dengan lebih yakin dan lebih percaya diri untuk menjalani hari-hari yang mendatang, walaupun setelah kita merasakan bertapa peritnya kehidupan sewaktu diri ditinggalkan pergi.
Ulasan
Catat Ulasan