Angin sepoi-sepoi yang bertiup menampar manja ke arah wajahku pada petang yang damai ini, menari-nari bersama segala memori yang melayang dan tersingkap satu persatu di hadapan tirai mata, mengingatkan aku seketika kepada dirimu. Di manakah dirimu berada pada ketika ini? Ingin sekali rasanya aku menatap wajahmu pada detik ini, walaupun hanya untuk seketika cuma. Adakah dikau juga merasakan apa yang aku rasakan?? Ataupun hanya tinggal aku seorang diri mengayam semua mimpi-mimpi??Mengapa begitu sukarnya untuk aku melupakan segala kenangan yang pernah kita ciptakan bersama???
Sudah lebih daripada satu dekad semua itu berlalu namun bagi diriku, semua itu baru sahaja berlaku seminit yang lalu. Memang sukar untuk dimengertikan dan difahami tetapi itulah yang terjadi. Seolah-olah aku baru sahaja selesai dan kembali semula ke rumah setelah menghantarkan dirimu ke hostel pelajar di Bangsar tempat penginapan mu. Yeah.. I know right? you can call me unrealistic, but sweetheart i'm just stating the fact.
Bukan aku tak pernah mencuba untuk memudarkan kesemua rasa itu tapi aku masih belum berjaya lagi melakukannya sehinggalah ke saat ini. Sudah dikira cukup beruntung jikalau aku sekadar mampu untuk memudarkan kerana untuk menghapuskannya memang satu perkara yang mustahil untuk dilakukan oleh diriku ini. Semakin kuat hati ini cuba melawan rasa rindu kepada dirimu, semakin kuat pula ia kembali meronta untuk mendakap aku dengan lebih erat lagi. Aku letih dan lemas NIZ.. Aku pun tidak tahu sampai bilakah semua kenangan milik kita berdua ini akan dibawa pergi oleh sang angin yang berhembus, menumpang lalu di celah-celah jendela kehidupan aku ini.
Oleh itu aku berhenti melawan dakapannya terhadap diriku. Aku biarkan perasaan itu terus membaluti ke seluruh tubuh ini. Harus dikau fahami, berhenti melawan bukanlah bermaksud aku telah menyerah kalah tetapi aku ingin ianya berlalu secara semulajadi, tanpa ada paksaan. Sesuatu yang cuba dipaksakan terutamanya di dalam hal yang berkaitan dengan hati dan perasaan ini tidak akan kekal untuk satu jangka masa yang lama. Percayalah, kerana aku sudah mencubanya sendiri melebihi ribuan kali. Tetap sahaja diriku ini gagal untuk mengekangnya.
Sekali lagi angin terus bertiup dan hembusannya seakan-akan membisikkan sesuatu ke telinga aku ini. Mungkinkah ianya membawakan pesan dari dirimu? Tersenyum aku seketika apabila mengingatkan kembali kata-kata yang pernah dikau tuturkan kepada ku satu tika dulu..
" Jika sesekali Mie merasa rindu pada NIZ, dan terasa hembusan angin di wajah Mie.. ketahuilah itulah tanda rindu NIZ yang tak kan pernah terpadam untuk Mie..."
Oleh itu aku terus membiarkan kedamaian angin petang tersebut membelai lembut seraut wajahku yang diselaputi rasa duka. Walaupun tidak mampu menghilangkan kesedihan dihati, setidaknya ia mampu membuatkan aku menarik sedikit nafas kelegaan. Sebelum semua rasa ini harus aku sembunyikan semula daripada pengetahuan orang di sekeliling buat seketika, untuk meneruskan aktiviti harian ku. Life must go on!
Kekecewaan yang dirasakan tidak pernah aku jadikan sebagai penghadang jalan meneruskan kehidupan. Sepahit apa pun yang dirasakan, aku rela menelannya andai itulah kemahuan hatimu. Diri ini tidak akan pernah memaksa dirimu melakukan sesuatu yang tidak mahu kau lakukan. Aku rasa dirimu pasti lebih memahami tentang perkara itu. Aku pasti tentang itu!
Aku tidak percaya dirimu mampu melupakan semua nota-nota kehidupan yang telah kita catatkan bersama dalam lipatan sejarah di antara kita berdua. Aku tidak akan pernah percaya bahawa dirimu adalah seorang manusia yang sekejam itu. Tidak NIZ.. Jika mati dihidupkan kembali pun tidak akan bisa merubah pendirian aku itu.
Kerana aku tahu siapa dirimu yang sebenarnya.. pasti dirimu mempunyai alasan mengapa perkara itu yang dikau biarkan terjadi. Ataupun adakah ketika saat itu ia berada diluar kemampuan mu? Sehinggakan dikau tidak lagi memperdulikan persahabatan kita? Ataupun itu cumalah andaian daripada diriku ini yang masih dibaluti selimut duka, setelah janji di antara kita berdua dikau mungkiri?
Jika memang benar mahu move on dengan hidup masing-masing, mengapa tidak berterus terang? Bukannya terus menghilang tanpa khabar berita dan jejaknya juga turut kau hapuskan. Itu bukan jalan penyelesaian yang terbaik. Mungkin terbaik dimatamu, tetapi bagaimana pula hati dan perasaan pihak kedua yang terbabit sama? Iaitu diriku ini yang pernah sentiasa ada untuk dirimu...
Andai saja pada masa itu, kita boleh meluangkan sedikit masa untuk berkomunikasi dengan baik dari hati ke hati, kemungkinan besar persahabatan ini tidak akan pernah terputus. Sayangnya hubungan persahabatan yang dibina hancur hanya kerana tidak memiliki kemahiran komunikasi yang baik.
Pada angin yang lalu tolonglah sampaikan pesan daripada aku kepada dirinya. Aku tidak pernah menyalahkan dirinya atas segala yang berlaku dan semoga dia akan sentiasa berbahagia tidak kira di mana pun dia berada. Wahai angin khabarkan juga kepada dirinya aku di sini tetap seperti dulu, penyokong setia kepada dirinya. Hembuskan lah dengan hembusan yang paling segar agar dia kembali bersemangat untuk terus melayari bahtera kehidupan.
Terakhir untuk coretan aku pada hari ini, jutaan terima kasih aku ucapkan kepada dirimu kerana telah pernah sudi menjadi seorang sahabat sejati kepada aku yang memang bukan siapa -siapa ini. Dan rasanya...
" Puncak kebahagiaan itu telah berjaya aku tawan apabila mengetahui, bahawa diri ini pernah singgah di dalam catatan hatimu.."
Ulasan
Catat Ulasan