Anehnya perasaan yang aku rasakan di keheningan pagi ini, dikala ku bersendirian tiba-tiba aku terkenangkan dirimu. Di manakah dikau berada di ketika ini? Kerana 'semalam' perkara terakhir yang diriku ketahui, dirimu dan juga diriku merupakan sahabat sejati yang tak mungkin dipisahkan lagi. Tidak mengira walau apa pun badai yang datang melanda kapal persahabatan yang kita kemudi kan bersama ini, tidak mungkin akan berjaya menenggelamkannya ke dasar lautan.
Mereka kata sebuah kapal tidak mungkin dapat memiliki dua nakhoda. Pasti akan menimbulkan banyak masalah di kemudian hari. Akan tetapi pada ketika itu Kau dan aku kita berdua langsung tidak mempercayai kata-kata tersebut dan telah kita berdua cuba membuktikan kepada mereka bahawa berdua itu sememangnya lebih baik.
Ketika luasnya samudera ini kita redah bersama dengan penuh rasa sabar sambil membawa dan mengibarkan misi pencarian yang sama, agar kita berdua mencapai kebahagian di akhirat dan dunia yang fana ini dengan jayanya. Kejayaan demi kejayaan yang telah kita rekodkan dalam sejarah perhubungan kau dan aku merupakan bukti nyata bahawa dua nakhoda sememangnya merupakan satu kelebihan dalam melayari kapal besar kehidupan. Hanya jika kita cekap, matang dan serasi apabila membuat sesuatu keputusan, di manakah pelabuhan yang bakal kita takluk seterusnya.
Oleh itu di setiap pelabuhan yang kita singgahi, pasti keindahan pelangi yang terdapat di sana, kita akan menikmatinya bersama perasaan yang penuh dengan rasa riang gembira gelak dan tawa di bawah lindungan dan limpah kurniaan daripada ilahi. Sungguh dunia dirasakan seolah-olah milik kita berdua. Bahagia sungguh kita berdua di waktu itu, walaupun kita masing-masing memahami semuanya seakan hidup didunia khayalan dan pasti semuanya akan kembali semula ke dunia nyata setelah realiti kembali mengetuk di hadapan pintu realiti.
Baca Juga :
Mengubati Hatiku Yang Patah Ditumpaskan Cinta
Tapi kini tidak lagi begitu, apakah yang sudah terjadi?? Kapal persahabatan kita sudah tidak lagi mampu untuk meneruskan pelayarannya menuju ke destinasi impian. Tidak lagi mampu berlabuh dengan megah sebaliknya sudah separuh karam di sedut ke dalam perut lautan yang hanya menunggu masa dan ketika untuk melapah sebelum menelan segala isinya.
Mengapakah dirimu sanggup untuk hanya menjadi seorang pemerhati ' profesional' yang hanya berdiri di tepi? Sampai bilakah baru kepuasan di dalam dirimu dapat dipenuhi melihatkan aku terkapai-kapai memegang tali kemudi seorang diri?
Di keheningan pagi ini kala ku sendiri terkenangkan dirimu...
wahai sahabat yang pernah mengaku kepada diriku sebagai seorang sahabat sejati, sudah lupakah dikau kepada segala janji-janji mu? Tidak bererti lagikah segala ikrar yang telah kita berdua lafazkan di dalam cinta yang telah tersimpul rapi?
Di manakah silapnya sehingga terjadinya perpisahan ini? Tidakkah dihatimu mempunyai sedikit rasa belas ihsan dan simpati? Teganya hatimu untuk membiarkan diri aku ini terus berkelana seorang diri.
Atau mungkinkah semua yang terjadi itu, lantaran tidak jelasnya komunikasi di antara kita berdua, semasa berlabuh di perlabuhan terakhir kita di tepian jeti itu? Andai benar itulah yang tersirat dihatimu mengapa tidak dirimu berterus terang sahaja meluahkan segala rahsia dihati?
Pergimu bersama rahsia yang masih kekal menjadi rahsia, membuatkan diriku menjadi semakin terseksa. Parahnya luka di jiwaku yang kau calarkan hanya kerana 'si dia' yang baru dikau kenali tidak sampai satu purnama? Di manakah telah kau campakkan segala rasa cinta di antara kita berdua? Sudah tiada lagikah nilai dan hargaya dimata mu yang indah bak sinar sang suria yang terbit memancarkan cahayanya ke serata dunia?
Tidak mengapa jika hatiku ini yang kau lukai kerana sekurang-kurangnya aku masih dapat mengetahui sedalam manakah cintamu terhadap diriku selama ini. Dengan perlakuanmu yang seperti itu membolehkan aku menjadi seorang yang lebih bijaksana untuk menilai yang mana satukah intan permata yang asli. Yang mungkin akan memberikan kelebihan kepada diriku di dalam membuat keputusan di kemudian hari.
Namun harus selalu kau ingat yang berwarna kuning itu tidak semestinya emas dan yang berkilau juga tidak bermakna ianya sebuah permata yang berharga. Mungkin ia adalah kaca yang sedang berselindung di sebalik sinar cahaya dan sedang bersiap sedia untuk melukaimu di kemudian hari tanpa sedikit pun kau sedari.
Berhati-hatilah ketika dirimu cuba menggengam sesuatu hal yang belum dikau ketahui dengan pasti. Jika dirimu tidak bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan yang bakal tiba nanti, aku khuatir dikau bakal rebah ke bumi dan tidak sedarkan diri. Bimbang rebahnya dirimu nanti, sukar untuk dikau bangkit kembali menghadapi realiti.
Walaupun hatiku masih merasakan bertapa sakitnya hati ini dikhianati, oleh dirimu yang menggelarkan dirimu sebagai seorang sahabat sejati kepada diriku ini.. sekeping hati yang menjadi milik diriku ini masih teguh dan penuh dengan zikir yang sentiasa memuji kebesaran ilahi. Justeru itu, tidak akan aku membiarkan dikau jatuh tersungkur kerana sehingga disaat ini aku masih menyayangimu seperti waktu dahulu, sungguh!
Hanya satu pintaku wahai kekasih hati pemilik ruang istimewa dihatiku ini.. Usah dikau membiarkan dirimu terus hanyut mengejar kebahagiaan yang hanya muncul untuk sementara waktu cuma. Takutnya jika di suatu masa nanti seseorang yang dikau kejar itu pula yang akan pergi meninggalkan dirimu bersendirian demi mengejar orang yang mereka sayangi.
Dan sekiranya memang benar dikau tidak lagi menyukai seseorang itu, berterus terang dan berkata jujurlah kepada mereka kerana sakitnya hanya sekali! Daripada dikau berterusan bermain tarik tali, yang bakal mengecewakan orang yang menyandarkan harapan kepada dirimu. Walaupun sukar untuk berterus terang namun itulah jalan penyelesaian yang terbaik agar kedua-dua pihak yang tiada lagi persefahaman, untuk berjaya mengemudikan kehidupan masing-masing di kemudian hari kelak tanpa rasa penyesalan.
Ulasan
Catat Ulasan